Dikuasakan oleh Blogger.

Khamis, 16 Januari 2014

UMS SELANGKAH MAJU LANCAR MOBILE APP


Sepanggar : Alhamdulillah, UMS selangkah lagi ke hadapan. Sejajar dengan perkembangan teknologi terkini, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melancarkan aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun oleh semua pengguna gadjet pintar android hari ini. Pelancaran aplikasi tersebut juga sebagai usaha untuk memenuhi objektif Bidang Keberhasilan Utama Universiti (UMS-KRA) yang ke-4 iaitu memperkukuh tadbir urus, kepimpinan dan sistem penyampaian. Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah selepas Majlis Perhimpunan Jabatan Canselori di Galeri Majlis universiti eko-kampus itu. Aplikasi tersebut yang dihasilkan melalui inisiatif Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) boleh diakses melalui jalur lebar tanpa wayar (Wi-Fi) atau mobile data. dengan adanya kemudahan seperti ini, akan mengurangkan lagi beban para siswa/i untuk memuat turun apa-apa tanpa perlu menghadirkan diri ke Megalab. Dengan hanya menggunakan Android sahaja, segala macam maklumat akann dapat diperolehi dan dimuat turun secara mudah.


:: Hariadi Haripai
 ::

TARIAN ALAI BUBU (SAYAU SALIHID) DAN MITOSNYA ; SUATU PERSOALAN


       Tarian Alai Bubu (Sayau Salihid) adalah merupakan sebuah tarian yang berkonsepkan bubu ikan dengan menggunakan bubu/lukah (yang direndam/tenggelamkan di dalam air sungai atau air laut untuk menangkap ikan). Tarian ini ditarikan oleh 6 orang penari, 4 orang pengalai, 4 orang pemuzik dan 2 orang penyanyi (tukang karut). Menurut informen, En Karim, Kisah disebalik tarian ini adalah sebuah mitos pada zaman nenek moyang suku kaum Bisaya yang terdahulu. Beliau merupakan salah seorang penggiat seni tari bubu mengalai di daerah beaufort sehingga kini.


SENI TARI? JANGAN PANDANG SEBELAH MATA

Kesempatan menuntut di Sekolah Pengajian Seni UMS, memberikan pelbagai ilmu yang selama ini tidak mendapat perhatian oleh orang ramai. Tidak ramai yang mempunyai kesempatan belajar asas seni tari secara formal di dalam kelas. Tidak ramai juga yang mampu berbicara tentang tarian dan signifikannya dengan kehidupan sehari-hari. Yang biasa kita dengari jika disebut pasal tarian ialah tarian untuk suka-suka dan hiburan semata-mata. Tidak lebih dari itu. Stereotaip tentang tarian sudah sebati dalam mentaliti masyarakat pada hari ini. Jika kita lihat budaya kesenian masyarakat melayu pada masa dahulu, kebudayaan mereka sangat rapat dengan nilai spiritual mereka. Gerak tari yang ditarikan mempunyai kaitan dengan adat dan sifat masyarakat yang mementingkan kesopanan dan kelembutan. Contoh tarian yang dalam hal ini ialah tarian joget dan tarian inang. Salah satu persoalan ialah mengapakah terdapat perbezaan pergerakan tarian yang ditarikan oleh penari lelaki dan penari wanita.

Pak Su ; sebelah kanan, baju kelabu (Suhaimi Magi - Sarjana Tari Nusantara)

TSUNAMI FILEM PENDEK UMS 2013


Mengimbas kembali sejarah penganjuran Anugerah Pemikiran Sepanggar (Festival Skrin Digital Pelajar UMS) 2013 yang lalu. Meninggalkan seribu satu kesan pada pembikin filem mahupun audiens yang menyaksikannya. Program seumpama ini adalah bersifat akademik dan akan menjana pemikiran kreatif para pelajar melalui penerbitan filem pendek dan video yang telah dihasilkan. Berikutan perkembangan filem di Malaysia yang semakin berkembang, ini adalah salah satu usaha dilakukan oleh sesuatu pihak untuk mengiktiraf hasil kerja filem anak tempatan. FSDP ini diadakan bagi menghargai dan menilai mutu kerja filem pendek dan video pelajar yang dihasilkan pada semester ini. Malah, terdapat beberapa program seperti Seni Kreatif dan Seni Visual (SPS) yang turut dinilai pemarkahan dalam kursus yang ditawarkan pada semester ini seperti Teknik Pra Dan Pasca Penerbitan dan Produksi Audio Video II.
(SILA KLIK PADA GAMBAR)

Menurut seorang peserta festival filem selaku pelakon dalam filem The Bloody Night , iaitu saudari Calista Nadia Lusin berkata, "Saya tidak tahu pun yang filem ini akan melangkah sejauh ini. Hinggakan ada tayangan filem bertiket. Malah, ada anugerah bagi setiap kategori. Saya hanya berlakon biasa-biasa saja setakat membantu senior. Tapi Program ini juga membantu para pelajar untuk berusaha dan menambahbaikan mutu kerja mereka. Festival ini menggalakkan pelajar untuk menghasilkan sesebuah filem yang baik dan bermutu selain memaparkan ciri-ciri budaya masyarakat Malaysia khususnya kawasan Kepulauan Borneo. Sebanyak 18 filem telah ditayangkan selama dua hari berturut-turut di Theatrette Ahmad Nisfu Sekolah Pengajian Seni. Kesemua filem tersebut telah bertanding untuk mendapatkan 14 anugerah pada malam anugerah Pemikiran Sepanggar yang telah diadakan secara gilang gemilang anjuran Kelab Seni Recording Team (SRET) dan Persatuan Anak Seni (PESAN) bersama Sekolah Pengajian Seni dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

Penganjuran festival ini antara lain ialah bertujuan untuk melahirkan pelajar Universiti Malaysia Sabah yang berilmu, berbakat, berketerampilan dan boleh mengurus program yang diadakan bermula dengan kertas kerja sehingga program ini selesai dengan jayanya, menarik minat golongan pelajar dalam bidang penerbitan karya khususnya filem pendek. Selain memperkenalkan, mendedahkan dan mengiktirafkan hasil kerja anak tempatan dalam pembikinan filem pendek khususnya para pelajar. Membentuk satu kumpulan tenaga kerja yang mahir menggunakan peralatan yang melibatkan penggunaan kamera dengan kaedah yang betul dalam penghasilan video dan filem pendek, serta Meningkatkan mutu pembikinan filem pendek peringkat IPTA khususnya di peringkat UMS.

Pelajar-pelajar pembikin filem harus mendengar kritikan daripada semua pihak. Tidak kira baik atau buruk sesuatu kritikan itu harus diterima dengan hati terbuka. Tanpa kritikan daripada penonton filem akan menjadi hambar. Pengkarya akan jadi syok sendiri. Berasa hebat akan hasil mereka. Walhal jauh panggang dari api. Jadilah seperti belalang yang mengaku helang. Dalam masa yang sama, pengkritik juga tidak harus mengkritik dari aspek kelemahan dan keburukan sahaja. kritikan perlu ada kritikan membina dan kritikan mengapresiasi karya atau menghargai.





             


Dengan cara ini pelajar selaku pembikin filem pendek akan lebih matang pada masa hadapan. Kajian demi kajian dilakukan demi mendapatkan hasil yang terbaik. Penghasilan idea baru juga sangat membantu. Seiring dengan nama sekolah pengajian seni itu sendiri iaitu untuk mengkaji hal-hal kesenian termasuklah seni perfileman. Bukan hanya mempersembahkan seni semata-mata. Pengajaran pembikinan filem juga tidak ada lain main-main atau suka-suka. Malah akan menjurus ke arah penghasilan pelajar yang berilmu dan berkemampuan tinggi. Dengan terjalinnya semua ini, tidak ada lagi karya-karya yang disebut picisan. Yang ada hanyalah karya yang berkualiti dan bermanfaat untuk dibicarakan atau dipersoalkan secara akademia. Jika buku ada karya popular, filem juga ada filem popular. Jika novel ada karya akademik, tentu filem juga ada. Sesungguhnya penganjuran festival ini telah mengingatkan kembali kepada warga SPS akan matlamat penubuhan Sekolah Pengajian Seni di bumi Sabah.

Kehadiran peserta dari Sekolah Sains Informatik Labuan (UMSKAL) harus diberikan tumpuan dalam penganjuran FSDP UMS 2013. Sebanyak enam buah filem dipertaruhkan oleh SSIL. Menurut maklumat, sebelum bertanding di FSDP UMSKK mereka sudah terlebih dahulu menganjurkan Festival Filem SSIL 2013 di UMSKAL. Enam filem yang bertanding tersebut merupakan antara filem yang telahpun memenangi beberapa anugerah di sana. Berbanding filem-filem UMSKK, apreasiasi terhadap filem mereka sudah dilakukan awal. Tentunya benchmark saling berbeza antara satu dengan yang lain. Namun, tiada istilah double standard atau pilih kasih dalam hal ini kerana juri yang terlibat semasa FSDP UMS adalah juri yang berkecuali. Mereka adalah En. Deddy M.Borhan, seorang pengarah terkenal Sabah melalui filemnya Azura lakonan Dato’ Fauziah Amat Daud dan Jamal Abdillah. Selain berpengalaman menjadi panel penilai dalam Festival Filem Malaysia (FFM) di Kuala Lumpur. Juri kedua, En. Sharifudin Zainal merupakan seorang pensyarah teater di SPS yang mempunyai Master dari dalam bidang Filem (Acting & Directing) dari USM. Sementara juri ketiga, Rosli Sareya seorang pensyarah Sekolah Sains Sosial dalam bidang Komunikasi. Beliau juga berpengalaman dalam bidang perfileman.

Berbekalkan dengan bajet yang terhad, kelengkapan yang minimal untuk menghasilkan sebuah filem yang bermutu seiring dengan arus kemodenan era ini, dan pengalaman cetek perlu diberi pujian kerana mampu menghasilkan karya yang dinamakan sebagai filem pendek. Daripada 18 filem yang dipertandingkan pada fsdp UMS 2013 ini, majoritinya menggunakan kamera HDV, Handycam, dan DSLR sahaja. Ilmu berkenaan penggunaan alatan penghasilan filem juga berbeza antara satu dengan yang lain. Kelebihan buat kelompok yang mempunyai pengkhususan dalam elemen sinematografi, editing, lakonan, pengurusan, penulisan skrip, pengarahan, graphic design, penataan seni dan sebagainya. Tidak ada yang dapat menguasai kesemua elemen dengan sempurna. Filem The Bloody Night arahan Ku Za memperlihatkan bagaimana kekuatan elemen sinematografi yang sangat kuat hingga membuat ramai yang terpegun melihat visual-visual yang dihasilkan. Namun, ramai yang mengkritik berkenaan jalan cerita yang sukar difahami. Terlalu rumit sehinggakan penonton tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku pada cerita tersebut. Elemen lain dalam filem tersebut seperti lakonan juga mendapat perhatian kerana belum mencapai tahap yang memuaskan walaupun ada kelibat pelakon lelaki seperti Madi dan Onday yang mempunyai kelebihan dalam seni teater. Begitu juga halnya dalam filem Mengayau oleh Helmy yang hanya mempunyai kekuatan dari aspek penataan seni. Filem-filem lain juga masing-masing ada kekuatan dan kelemahan yang kalau difikirkan hasilnya yang secara kolektif akan mendatangkan impak yang besar.

PUSAT SUKAN UMS PANGGIL ATLET LAGI


Universiti Malaysia Sabah – Satu pengumuman kepada semua atlet yang akan meyertai sukan SUKIPT Februari ini, Pusat Sukan akan mengadakan satu perjumpaan dan pendaftaran kepada semua atlet yang akan mengambil acara pada 19 Januari 2014 yang bertempat di Kompleks Sukan UMS pada 2.30 petang.

Perjumpaan ini juga merupakan taklimat ringkas yang akan diberikan kepada semua atlet Fasa 1 sebelum berlepas ke Kuala Lumpur pada 2 Februari ini dan 9 Februari untuk atlet Fasa 2. Encik Charles Thomas berkata “semua atlet wajib menjalani latihan pusat yang akan bermula pada 19 hingga 31 Januari 2014 bagi melengkapkan diri untuk bertanding dalam acara masing-masing.”


Kepada atlet yang tinggal di luar universiti seperti kolej kediaman Indah Permai, kolej kediaman KingFisher dan kolej Sri Angkasa, pusat sukan akan berhubung terus kepada kolej kediaman yang ada di dalam UMS untuk memastikan penempatan atlet sempena latihan pusat itu berlangsung.

Pusat Sukan juga akan menyediakan makanan kepada atlet sempena latihan pusat ini dari pagi hingga ke malam untuk memastikan kebajikan atlet terjaga. Atlet yang akan bertanding dinasihati agar menjaga kesihatan dan keselamatan sebelum pertandingan bermula. Pusat Sukan juga berharap agar atlet dapat memberi kerjasama selama program ini berlangsung.
-shahril-

UMS OPEN FENCING 2013 CARI BAKAT BARU


Kota Kinabalu : Kelab Lawan Pedang UMS atau lebih dikenali sebagai UMS Fencing Club telah menganjurkan satu pertandingan lawan pedang terbuka UMS pada 30 November lalu yang berlangsung selama sehari yang bertempat di Dewan Kolej Kediaman CD.


Penganjuran yang julung-julung kalinya ini dianjurkan oleh UMS bertujuan untuk mencari bakat baru dalam kalangan mahasiswa dan siswi selain memberi pendedahan kepada peserta kerana sukan ini yang kurang mendapat sambutan di UMS.

Pertandingan ini juga bertujuan untuk mengisi kalendar 2013 sebelum melabuhkan tirai penutup hujung Disember ini. Penganjuran yang julung-julung kalinya dianjurkan ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dari pelajar UMS kerana 36 orang peserta yang mengambil bahagian dari UMS serta 6 orang peserta jemputan dari Sabah Fencing Association.

UMS Fencing Club yang dipimpin oleh jurulatihnya Bobby Chiw bangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh beberapa orang anak muridnya antaranya Aiman dan Ng Seong Yap yang masing-masing telah mendapat gelaran johan dan ketiga dalam pertandingan tersebut. Sabah Fencing Association di bawah pimpinan jurulatih Kok Win juga  berpuas hati dengan pencapaian atletnya setelah salah seorang anak muridnya meraih gelaran naib johan dalam pertandingan selama sehari itu.

Pemenang tempat ketiga, Ng Seong Yap yang sempat ditemubual Sabtu lalu berkata, “kami baru sahaja menceburi sukan ini beberapa bulan yang lalu di bawah kokurikulum yang kami pilih dan sekarang saya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan yang baru sahaja saya sertai.”

Kelab ini berharap dapat menarik lebih ramai ahli tidak kira melalui kokurikulum atau secara sukarela. Yang pasti, kelab ini berhasrat untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa seperti Laura Simon, pemain muda wanita lawan pedang Malaysia kelahiran Kota Marudu yang juga merupakan pelajar Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial yang mengambil jurusan Sains Sukan.

Pertandingan ini tamat selepas penyampaian hadiah kepada pemenang dijalankan pada pukul 5 petang Sabtu lalu.
 
-Aril-

KOLEJ AB UMS ANJUR PERTANDINGAN BADMINTON TERTUTUP



Universiti Malaysia Sabah- Kolej Kediaman Anugerah Bestari (AB) di bawah pengelolaan JAKMAS AB akan menganjurkan sebuah pertandingan Badminton Tertutup Piala Pengetua yang akan bertempat di Dewan Serbaguna AB. Pertandingan ini akan berlangsung pada 11-15 Disember 2013.

Pertandingan badminton yang sering dianjurkan ini memang menjadi tradisi hampir setiap tahun dikelolakan oleh kolej kediaman ini. Penganjuran ini juga merupakan salah satu kalendar tahunan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh mahasiswa dalam menarik minat mahasiswa dan mahasiswi kolej kediaman ini untuk menceburkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan dalam kolej kediaman ini.

Pertandingan ini juga menyediakan markah SDP kepada penyertaan mahasiswa. Pemenang akan menerima hadiah berbentuk wang tunai, hamper serta sijil yang akan diserahkan sendiri oleh pengetua AB.

Kepada mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan ini boleh berhubung terus dengan saudara Andrew dalam talian 0194832452 dan saudara Aqmil – 0138973463.
Pertandingan ini mengharapkan lebih banyak penyertaan dari tahun sebelumnya lebih-lebih lagi penyertaan pelajar tahun satu.

-shahril-
 

Blogger news

Blogroll