Mengimbas kembali sejarah penganjuran Anugerah Pemikiran Sepanggar (Festival Skrin Digital Pelajar UMS) 2013 yang lalu. Meninggalkan seribu satu kesan pada pembikin filem mahupun audiens yang menyaksikannya. Program seumpama ini adalah bersifat akademik dan akan menjana pemikiran kreatif para pelajar melalui penerbitan filem pendek dan video yang telah dihasilkan. Berikutan perkembangan filem di Malaysia yang semakin berkembang, ini adalah salah satu usaha dilakukan oleh sesuatu pihak untuk mengiktiraf hasil kerja filem anak tempatan. FSDP ini diadakan bagi menghargai dan menilai mutu kerja filem pendek dan video pelajar yang dihasilkan pada semester ini. Malah, terdapat beberapa program seperti Seni Kreatif dan Seni Visual (SPS) yang turut dinilai pemarkahan dalam kursus yang ditawarkan pada semester ini seperti Teknik Pra Dan Pasca Penerbitan dan Produksi Audio Video II.
Menurut seorang peserta festival filem selaku pelakon dalam filem The Bloody Night , iaitu saudari Calista Nadia Lusin berkata, "Saya tidak tahu pun yang filem ini akan melangkah sejauh ini. Hinggakan ada tayangan filem bertiket. Malah, ada anugerah bagi setiap kategori. Saya hanya berlakon biasa-biasa saja setakat membantu senior. Tapi Program ini juga membantu para pelajar untuk
berusaha dan menambahbaikan mutu kerja mereka. Festival ini menggalakkan
pelajar untuk menghasilkan sesebuah filem yang baik dan bermutu selain
memaparkan ciri-ciri budaya masyarakat Malaysia khususnya kawasan Kepulauan
Borneo. Sebanyak 18 filem telah ditayangkan selama dua hari berturut-turut di
Theatrette Ahmad Nisfu Sekolah Pengajian Seni. Kesemua filem tersebut telah
bertanding untuk mendapatkan 14 anugerah pada malam anugerah Pemikiran
Sepanggar yang telah diadakan secara gilang gemilang anjuran Kelab Seni
Recording Team (SRET) dan Persatuan Anak Seni (PESAN) bersama Sekolah Pengajian
Seni dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar.
Penganjuran festival ini antara lain ialah
bertujuan untuk melahirkan pelajar Universiti Malaysia Sabah yang
berilmu, berbakat, berketerampilan dan boleh mengurus program yang diadakan
bermula dengan kertas kerja sehingga program ini selesai dengan jayanya, menarik
minat golongan pelajar dalam bidang penerbitan karya khususnya filem pendek.
Selain memperkenalkan, mendedahkan dan mengiktirafkan hasil
kerja anak tempatan dalam pembikinan filem pendek khususnya para pelajar. Membentuk satu kumpulan tenaga kerja
yang mahir menggunakan peralatan yang melibatkan penggunaan kamera dengan
kaedah yang betul dalam penghasilan video dan filem pendek, serta Meningkatkan mutu pembikinan filem pendek peringkat IPTA khususnya di
peringkat UMS.
Pelajar-pelajar pembikin filem harus mendengar
kritikan daripada semua pihak. Tidak kira baik atau buruk sesuatu kritikan itu
harus diterima dengan hati terbuka. Tanpa kritikan daripada penonton filem akan
menjadi hambar. Pengkarya akan jadi syok sendiri. Berasa hebat akan hasil
mereka. Walhal jauh panggang dari api. Jadilah seperti belalang yang mengaku
helang. Dalam masa yang sama, pengkritik juga tidak harus mengkritik dari aspek
kelemahan dan keburukan sahaja. kritikan perlu ada kritikan membina dan
kritikan mengapresiasi karya atau menghargai.
Dengan cara ini pelajar selaku pembikin filem pendek akan lebih matang pada masa hadapan. Kajian demi kajian dilakukan demi mendapatkan hasil yang terbaik. Penghasilan idea baru juga sangat membantu. Seiring dengan nama sekolah pengajian seni itu sendiri iaitu untuk mengkaji hal-hal kesenian termasuklah seni perfileman. Bukan hanya mempersembahkan seni semata-mata. Pengajaran pembikinan filem juga tidak ada lain main-main atau suka-suka. Malah akan menjurus ke arah penghasilan pelajar yang berilmu dan berkemampuan tinggi. Dengan terjalinnya semua ini, tidak ada lagi karya-karya yang disebut picisan. Yang ada hanyalah karya yang berkualiti dan bermanfaat untuk dibicarakan atau dipersoalkan secara akademia. Jika buku ada karya popular, filem juga ada filem popular. Jika novel ada karya akademik, tentu filem juga ada. Sesungguhnya penganjuran festival ini telah mengingatkan kembali kepada warga SPS akan matlamat penubuhan Sekolah Pengajian Seni di bumi Sabah.
Kehadiran peserta dari Sekolah Sains
Informatik Labuan (UMSKAL) harus diberikan tumpuan dalam penganjuran FSDP UMS
2013. Sebanyak enam buah filem dipertaruhkan oleh SSIL. Menurut maklumat,
sebelum bertanding di FSDP UMSKK mereka sudah terlebih dahulu menganjurkan
Festival Filem SSIL 2013 di UMSKAL. Enam filem yang bertanding tersebut
merupakan antara filem yang telahpun memenangi beberapa anugerah di sana.
Berbanding filem-filem UMSKK, apreasiasi terhadap filem mereka sudah dilakukan
awal. Tentunya benchmark saling
berbeza antara satu dengan yang lain. Namun, tiada istilah double standard atau pilih kasih dalam hal ini kerana juri yang
terlibat semasa FSDP UMS adalah juri yang berkecuali. Mereka adalah En. Deddy
M.Borhan, seorang pengarah terkenal Sabah melalui filemnya Azura lakonan Dato’
Fauziah Amat Daud dan Jamal Abdillah. Selain berpengalaman menjadi panel
penilai dalam Festival Filem Malaysia (FFM) di Kuala Lumpur. Juri kedua, En.
Sharifudin Zainal merupakan seorang pensyarah teater di SPS yang mempunyai
Master dari dalam bidang Filem (Acting & Directing) dari USM. Sementara
juri ketiga, Rosli Sareya seorang pensyarah Sekolah Sains Sosial dalam bidang
Komunikasi. Beliau juga berpengalaman dalam bidang perfileman.
Berbekalkan dengan bajet yang terhad,
kelengkapan yang minimal untuk menghasilkan sebuah filem yang bermutu seiring
dengan arus kemodenan era ini, dan pengalaman cetek perlu diberi pujian kerana
mampu menghasilkan karya yang dinamakan sebagai filem pendek. Daripada 18 filem
yang dipertandingkan pada fsdp UMS 2013 ini, majoritinya menggunakan kamera
HDV, Handycam, dan DSLR sahaja. Ilmu berkenaan penggunaan alatan penghasilan
filem juga berbeza antara satu dengan yang lain. Kelebihan buat kelompok yang
mempunyai pengkhususan dalam elemen sinematografi,
editing, lakonan, pengurusan,
penulisan skrip, pengarahan, graphic
design, penataan seni dan sebagainya. Tidak ada yang dapat menguasai
kesemua elemen dengan sempurna. Filem The
Bloody Night arahan Ku Za memperlihatkan bagaimana kekuatan elemen
sinematografi yang sangat kuat hingga membuat ramai yang terpegun melihat
visual-visual yang dihasilkan. Namun, ramai yang mengkritik berkenaan jalan
cerita yang sukar difahami. Terlalu rumit sehinggakan penonton tertanya-tanya
apa sebenarnya yang berlaku pada cerita tersebut. Elemen lain dalam filem
tersebut seperti lakonan juga mendapat perhatian kerana belum mencapai tahap
yang memuaskan walaupun ada kelibat pelakon lelaki seperti Madi dan Onday yang
mempunyai kelebihan dalam seni teater. Begitu juga halnya dalam filem Mengayau
oleh Helmy yang hanya mempunyai kekuatan dari aspek penataan seni. Filem-filem
lain juga masing-masing ada kekuatan dan kelemahan yang kalau difikirkan
hasilnya yang secara kolektif akan mendatangkan impak yang besar.
Ahli produksi sedang melakukan proses 'Shooting' |
Menyentuh berkenaan prospek kerjaya masa hadapan
pelajar juga amat berkait rapat dengan perkara ini. Merasai sendiri
bagaimana sesuatu filem itu dihasilkan menjadikan pelajar lebih bersedia
berhadapan dengan dunia realiti kelak. Sesungguhnya dunia realiti penghasilan
filem dalam sesebuah produksi adalah proses yang kolektif. Semua pihak harus
berkerjasama bermula dari peringkat pra-produksi, produksi, dan pasca produksi.
Dengan terlaksananya program seperti ini,
diharapkan semua peserta yang telah mengikuti festival ini dapat memperolehi
pengetahuan mengenai teknik pra dan pasca produksi filem serta mengapresiasi
karya seni mereka agar dapat diangkat ke tahap yang seterusnya. Komentar dan
teguran daripada juri berpengalaman sangat mendatangkan manfaat terhadap diri
pelajar. Semoga ada pihak yang membuka mata untuk melihat sejauh mana
penganjuran festival ini telah memberi kesan yang positif. Justeru tinggi
harapan agar penganjuran program ini
dapat diteruskan pada tahun mendatang. Akhir sekali, terima kasih kepada semua
pihak kerana telah memberikan kerjasama yang jitu sehingga festival ini telah
dilaksanakan dengan sempurna.
:: ASPIRASENIKU ::
:: ASPIRASENIKU ::
Tiada ulasan:
Catat Ulasan