Dikuasakan oleh Blogger.

Isnin, 18 November 2013

KL Gangster 2 (Review Filem)

                Sebuah lagi karya agung Syamsul Yusof berjaya dihasilkan iaitu KL Gangster 2, hasil daripada sambungan  filemnya yang menjadi kegilaan ramai pada tahun lepas iaitu KL Gangter 1. KL Gangster pada asasnya adalah berkisarkan kisah kekeluargaan dan dunia kongsi gelap. KL Gangster 2 pula menceritakan bagaimana sebuah empayar kongsi gelap yang telah wujud dan diceritakan di dalam KL Gangster 1 terbina. Malek (Aaron Aziz), dan juga adiknya iaitu Jai (Adi Putra) secara tidak langsung terjebak di dalam dunia gangster setelah kematian ayah mereka lebih kurang 10 tahun lalu. Kehidupan keluarga mereka teramat sukar selepas kematian ayah mereka. Hutang yang dipinjam dan belum dilangsaikan arwah ayahnya menjadi titik hitam kepada mereka sekeluarga.




                Ugutan demi ugutan dari kumpulan gangster terhadap keluarganya memaksa Malek dan Jai mengikuti kumpulan gangster. Malek pada awalnya tidak mahu mengikuti kumpulan gangster, dan beliau bekerja sebagai pekerja biasa di sebuah bengkel bersama rakannya Fadil. Namun selepas menerima laporan daripada doktor yang mengesahkan ibunya menghadapi penyakit barah, Malek semakin buntu untuk mencari jalan penyelesaian untuk menampung kos rawatan ibunya. Tailong (Rosyam Nor) pada ketika itu adalah gangster terbesar di Kuala Lumpur. Kegilaan Tailong dalam memonopoli dunia perniagaan haram seperti pengedaran dadah tidak disenangi gangster-gangster lain. Namun semua gangster-gangster tersebut terpaksa akur dengan kekuatan Tailong melainkan King (Ridhuan Hashim) dan juga anak tirinya (Syamsul Yusof). King menawarkan Malek kedudukan yang tinggi dan ganjaran yang besar dalam kumpulan mereka untuk bersama-sama menjatuhkan Tailong.

                Akhirnya, Malek terpaksa akur dengan tawaran King walaupun beberapa kali ditolaknya atas alasan ingin menampung kos rawatan ibunya dan juga melangsaikan hutang yang ditinggalkan arwah ayahnya. Namun begitu, penglibatan Malek di dalam dunia gangster tidak disukai oleh ibu dan adiknya, Jai. Bagi ibunya, walaupun niatnya baik tapi ibunya tetap tidak menyukai apabila anak-anaknya terjebak dengan dunia gangster. Di pertengahan cerita, terjadi pertempuran hebat di antara Tailong dan juga King. King hampir mati dibunuh oleh Tailong dan Malek tiba-tiba muncul untuk menyelamatkan King. Tailong yang berasa tergugat atas kehebatan Malek melarikan dirinya.

                Apabila Tailong mendapat tahu Jai adalah adik kepada Malek, Tailong menculik pula adik perempuan mereka iaitu Zeti dan merogolnya di hadapan Jai. Dragon (Adam Corrie) yang menjadi pengikut setia Tailong selama ini mulai berubah hati atas kekejaman dan kegilaan Tailong. Malek tidak sempat menyelamatkan adiknya di premis Tailong kerana bergegas menghantar ibunya ke hospital akibat daripada dipukul gangster-gangster Tailong. Pertembungan akhir di dalam cerita ini melibatkan dua gangster besar iaitu Tailong dan juga Malek. Malek dibantu oleh Shark dan juga Adib (Sofi Jikan). Kesudahannya di dalam dunia gangster, tiada menang tiada kalah, tiada untung tiada rugi. Tailong tumpas di tangan Malek dan Jai, dan Malek pun ditangkap polis atas penganiayaan Shark terhadap diri Malek.


                Sebagai kesimpulannya, pada pendapat saya filem ini bukan saja mengisarkan aksi semata-mata yang menarik minat anak muda untuk menontonnya sahaja namun menanam nilai kekeluargaan yang tinggi di dalam babak-babak ceritanya. Cadangan saya agar filem ini dipasarkan di luar negara kerana kualiti dan juga jalan ceritanya yang hebat setanding dengan filem aksi yang dikeluarkan oleh Hollywod. Andai tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Andai penerbit filem ini tak mencuba nasib memasarkan filem ini ke luar negara, maka kita takkan pernah mengetahui sejauh mana perkembangan kualiti filem-filem Malaysia.


::: HANIE :::

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 

Blogger news

Blogroll