JUMAAT 18 OKTOBER 2013 : James Wan, nama yang tidak asing lagi dalam dunia seni terutamanya dalam bidang pembikinan filem Hollywood. Insidious : Chapter 2, satu lagi karya beliau yang amat memuaskan hati ramai peminat filem seram. Di dalam filem Insidious : Chapter 2 ini, James Wan meminimumkan penggunaan pelakon namun memaksimumkan teka-teki yang mampu membuatkan penonton teruja dengan tiap babak di dalam filem ini. Bagi pandangan saya, Insidious : Chapter 2 sememangnya sebuah filem seram yang setanding dengan filem-filem seram yang pernah menjadi “Box Office” dalam beberapa tahun sebelum ini.
Permulaan cerita ini dimulakan dengan keluarga Lambert yang dihantui pelbagai kisah misteri. Lorraine, ibu kepada Josh mengetahui akan hal misteri yang berlaku kepada anak lelakinya iaitu Josh Lambert sebelum menjemput Elise untuk merawat Josh sewaktu Josh masih kecil. Elise menjadi risau keadaan anaknya selepas anaknya sering mengadu mengalami mimpi ngeri dan terlihat akan bayangan hitam di gambar anaknya. Dalam babak ini, Elise cuba untuk merawat Josh.
Jasad Josh Lambert dirasuk oleh semangat pengantin perempuan misteri yang berpakaian hitam dan isterinya iaitu Renai tidak mengetahui akan hal tersebut. Kisah misteri di dalam cerita ini menjadi semakin menarik ketika Josh sekeluarga berpindah semula ke rumah lamanya, iaitu rumahnya ketika dia masih kecil lagi. Mereka berpindah sementara ke rumah lamanya kerana rumahnya yang mereka menetap kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa susulan daripada kematian Elise.
Susulan daripada kematian Elise, Specs dan Tucker yang juga menceburkan diri dalam bidang paranormal melihat kembali rakaman Josh ketika kecil yang disimpan di bilik rahsia Elise. Kemudian ibu Josh iaitu Lorraine datang bertemu dengan mereka untuk meminta pertolongan berkaitan hal misteri yang berlaku kepada keluarga mereka, ketika itulah mereka menghubungi Carl, teman rapat Elise yang sama-sama membantu keluarga Lambert sejak Josh kecil lagi.
Mereka kemudiannya cuba untuk mencari jawapan atas persoalan mereka selama ini berdasarkan petunjuk yang kononnya diberikan oleh roh Elise. Namun ketika sampai di satu rumah usang iaitu rumah milik Parker Crane, pelbagai kisah misteri yang dibongkar oleh mereka melalui penglihatan batin milik Carl. Carl dan Lorraine juga hampir terbunuh di dalam rumah ini setelah mereka mengetahui bahawa yang memberikan mereka petunjuk untuk ke rumah ini bukanlah roh Elise, tapi yang memberikan mereka petunjuk tersebut ialah roh kepada ibu Parker Crane.
Pelbagai persoalan yang terjawab hingga ke penghujung cerita ini. Josh yang dirasuk roh Parker Crane bertindak dekat untuk membunuh Renai dan juga anaknya sendiri untuk meneruskan kehidupannya kerana hasutan daripada ibu Parker Crane, dengan membunuh sahaja maka dia akan dapat untuk hidup lebih lama. Anak Josh dan Renai juga mempunyai keistimewaan seperti mana yang Josh miliki. Akhirnya, keluarga Josh kembali hidup seperti keluarga normal yang lain selepas Josh merawat dirinya sendiri dengan bantuan Elise dan juga Carl.
Cerita ini amat menarik untuk ditonton seisi keluarga. Jalan ceritanya yang bercampur dengan sedikit sentuhan lucu memberikan lagi keselesaan kepada penonton untuk melihatnya. Sedikit cadangan saya kepada pengarah dan yang terlibat di dalam penghasilan filem ini untuk menambahkan lagi unsur seram di dalam filem ini kerana kebanyakan babak-babak yang dipengaruhi oleh watak seram bersifat kejutan saja, bukan berpunca daripada keseraman watak itu sendiri. Selamat menonton!
::: HANIE :::
Tiada ulasan:
Catat Ulasan