Dikuasakan oleh Blogger.

Semasa@UMS



KHAMIS, 05 DISEMBER – Karnival Inovasi Perniagaan menjadi tumpuan lebih 500 pengunjung daripada warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan penduduk setempat.
Karnival anjuran Pelajar Tahun Tiga, kursus Pengurusan Perhotelan Sekolah Perniagaan Ekonomi (SPE) itu nyata cukup meriah apabila tidak putus-putus dengan kehadiran pengunjung sejak dibuka seawal jam 8.00 pagi tadi di Perkarangan Dewan Canselor UMS.
Pengelola karnival berkenaan, Song Xiu Hui ketika dihubungi media Canselori berkata, pelbagai pengisian yang dijalankan telah menjadi daya penarik kepada kehadiran mereka untuk sama-sama memeriahkan karnival tersebut.
“Antaranya, demonstrasi makanan daripada chef jemputan, sesi ceramah daripada Malaysian Association of Hospitality (MAH) serta pameran dan barangan hasil kreativiti,” ujarnya yang turut mendapat seliaan daripada pensyarah modul Atur Cara Khas,  Juliana Langgat.
Song Xiu menambah, penganjuran karnival tersebut antara lain bertujuan untuk mengetengahkan pelbagai inovasi perniagaan dalam pelbagai aspek.
“Selain pelajar daripada Kursus Pengurusan Perhotelan, pelajar daripada kursus lain seperti pelajar Keusahawanan dan pelajar Sains Pengurusan Makanan juga turut terlibat dalam menjayakan acara ini,” ujarnya lagi.
Di samping itu katanya, para pengunjung juga turut disajikan beberapa jenis permainan seperti Onion Crush, Fruit Attack dan Test and Guess.
Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Datuk Dr. Kasim Md. Mansur. -SS-

Bahagian Media
Jabatan Canselori
 
Sumber Gambar: Johaidi Ismail, BPK



RABU, 4 DISEMBER - Program malam persembahan bakat mampu menyerlahkan kemampuan pelajar bidang sains dan matematik dalam seni persembahan lakonan melalui kursus pemikiran dan penulisan kreatif yang mereka ambil dalam Program Pensiswazahan  untuk Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) di UMS.
 
Pensyarah Pemikiran Penulisan Kreatif Lokman Abdul Samad berkata, perbezaan bidang yang dipelajari, iaitu bidang sains tidak menghalang mereka untuk mempersembahkan seni lakon dengan baik.
 
“Kemampuan yang mereka miliki adalah satu anugerah, dan seni yang mereka miliki adalah satu keindahan. Pelajar PJJ berjaya menggabungkan seni dan keindahan itu dengan sains dan matematik, yang pastinya memberikan dimensi baharu dalam era seni,” katanya pada Malam Persembahan Bakat di Dewan Kuliah Pusat, UMS baru-baru ini.
 
Jelasnya lagi seni lakon adalah sesuatu bidang yang memerlukan pengetahuan teori dan interpretasi yang tinggi untuk mewujudkan watak dan perwatakan dalam persembahan. Justeru, kemampuan pelajar-pelajar tersebut membolehkan mereka pergi jauh dalam memperkembangkan seni bukan sahaja dalam bidang lakonan dan penulisan skrip, malah boleh dikembangkan dalam penulisan puisi, cerpen dan novel.
 
“Kita perlu hargai bakat yang kita ada, kerana seni lahir daripada ilham dan inspirasi dari segi apresiasi  terhadap kehidupan yang kita jalani. Seni dipersembahkan hasil daripada refleksi kehidupan yang kita lalui dalam kehidupan seharian kita,” ujarnya.


Sumber: Jasman Bandar, SPS


BAHAGIAN MEDIA
JABATAN CANSELORI



KHAMIS, 28 NOVEMBER – Fahaman sempit segelintir masyarakat terhadap seni menyebabkan wujudnya tanggapan bahawa seni adalah haram.
Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Cawangan Sabah, Tuan Haji Samin Ongki berkata, masyarakat tidak boleh menjadi doktor sendiri kepada sesuatu isu seperti isu halal haram seni, iaitu yang hanya menyatakan bahawa seni itu haram tetapi tidak pula mencadangkan alternatif lain bagi menghalalkannya.
“Amalan individu terhadap seni yang membuatkan seni haram. Sebagai contoh, sekiranya seni muzik mampu melalaikan seseorang, maka haramlah seni muzik tersebut untuk didengar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang panel pada satu majlis ilmu Dialog Orang Seni (DOS) yang membawa isu “Haruskah Seni” di Theatrette Ahmad Nesfu, Sekolah Pengajian Seni (SPS) UMS baru-baru ini.
Menurutnya lagi, seni sebenarnya boleh menjadi satu medium menyampaikan dakwah kepada masyarakat dengan mengambil contoh penyanyi remaja terkenal tanah air, Najwa Latif yang banyak menyanyikan lagu berkonsepkan ketuhanan dan nilai pembangunan insan.
Beliau menambah, seni tidak boleh diukur dengan mengaitkan aspek seni dengan muzik atau tarian semata-mata. Katanya, penulisan khat, kaligrafi, penulisan kreatif dan sebagainya juga adalah satu bentuk seni yang terkebelakang dan kurang ditonjolkan oleh masyarakat itu sendiri.
Sementara itu, seorang lagi ahli panel dialog tersebut, pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Prof. Madya Dr. Suwaid Tapah menjelaskan bahawa setiap manusia mempunyai aspek seni yang mengalir dalam darah dan terpulang kepada individu tersebut sama ada mahu memanfaatkannya atau sebaliknya. Tambahnya, dalam Islam seni haruslah berpaksikan tiga perkara, iaitu nilai akidah, estetika dan etika.
“Menurut ahli falsafah Islam terkenal, Al Farabi, seni adalah satu keindahan, begitu juga mengamalkannya dengan cara baik. Sebagai contoh, membina rumah menghadap kiblat bukanlah wajib tetapi adalah salah satu aspek seni yang indah,” katanya.
Lebih 150 pelajar hadir pada dialog anjuran kumpulan pelajar subjek Resital II dengan kerjasama Kelab Sastera Mahasiswa (KARMA), SPS, UMS. Dialog tersebut dikendalikan oleh pensyarah SPS yang bertindak sebagai moderator, Sharifuddin Zainal bagi membuka minda pelajar agar tidak terlalu jumud dengan seni. -MA-


Bahagian Media
Jabatan Canselori








PECIPTA-2013

KHAMIS, 14 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya merangkul lima pingat emas, lima perak dan lima gangsa selain pencapaian dua anugerah khas dan dua sijil dalam penyertaan Ekspo Penyelidikan dan Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2013 baru-baru ini.
17 hasil penyelidikan yang dipertandingkan pada pameran tersebut membuatkan para penyelidik UMS telah merangkul pingat tersebut. Ekspo tersebut bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). 
Penyelidik yang telah menyumbangkan pingat emas ialah Prof. Madya Dr. Muhammad Iftikhar dengan mempamerkan penyelidikan Traditional Classifications System (TCS) for Fractures in Orthopaedics with Colour Coding dan Dr. Clarence M. Ongkudon dengan tajuk penyelidikan Monolithic Chromatography Adsorbent for Biomolecules Purification.  Kedua-dua penyelidikan yang dihasilkan itu juga masing-masing berjaya meraih Anugerah Khas Korea Special Award dan Minds Special Award.
Penyelidik yang lain adalah Prof. Madya Dr. Chye Fook Yee dengan tajuk  penyelidikan D-Jus, an Instant Dehydrated Probiotics Juice; Prof. Madya Dr. Maher Fouad Sefein dengan tajuk Clip Methodology: Bridging The Brain with the Body for Brilliant Innovations (Creative Workstation, Learned Skills, Innovation) dan Wilson Yong Thau Lym dengan inovasinya yang bertajuk Euche-Reactor. Kesemua mereka telah merangkul pingat emas.
Dalam 5 pingat perak pula, dua pingat telah dirangkul melalui Dr. Kenneth Francis Rodrigues, dan selebihnya disumbangkan oleh Ag. Ahmad Mohd. Yunus, Dr. Pushpa M. Palaniappan dan Siti Faridah Mohd. Amin.
Empat penyelidik UMS turut menyumbang lima gangsa melalui hasil penyelidikan yang dipertandingkan. Mereka ialah Chua Bih Lii, Dr. Lu Maw Win dan Mansoor Abdul Hamid. Dua pingat gangsa yang lain diperoleh melalui inovasi bertajuk Portable Solar Harvester (SOHA) dan Intelligent Online Traffic Optimiser (IOTO) yang dihasilkan oleh Kenneth Teo Tze Kin.
Dua sijil turut diperoleh melalui kajian yang masing-masing dihasilkan oleh  Prof. Madya Dr. Muhammad Iftikhar dan Ag. Ahmad Mohd Yunus.
PECIPTA 2013 yang berlangsung selama tiga hari itu juga menyaksikan gerai pameran penyelidikan UMS meraih anugerah Most Vibrant Booth.

:: Fariest ::







JUMAAT, 18 OKTOBER – Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Datuk Dr. Kasim Md. Mansur mengingatkan siswa siswi agar tidak terlibat dalam sebarang penyebaran berita palsu termasuk khabar angin berkaitan serangan pengganas.

Katanya, siswa siswi diminta agar jangan mudah percaya dengan khabar angin dan sentiasa menaruh keyakinan terhadap kemampuan pihak keselamatan menjaga keharmonian dan kedaulatan negara.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi media Canselori bagi mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mohammad Mentek dalam satu laporan akhbar nasional berhubung isu penyebaran berita palsu serangan Sulu.
Sementara itu,  Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (UMS), Mohd Juhar Harun ketika dihubungi memberitahu, sebarang berita yang diterima perlu dirujuk kepada pihak pengurusan UMS dan pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk memastikan kesahihannya.

“Saya percaya siswa siswi universiti tidak akan terlibat dalam penyebaran khabar angin seumpama ini. Kita tahu pihak pengurusan UMS tidak pernah mengambil ringan terhadap aspek keselamatan pelajar. Demikian juga dengan pasukan Keselamatan negara yang sudah bersiap siaga lebih awal,” ujar pelajar kelahiran Lahad Datu itu.

Baru-baru ini, Datuk Mohammad dalam satu laporan akhbar memberi amaran kepada pihak yang sering menyebarkan berita palsu mengenai serangan Sulu supaya segera menghentikan kegiatan mereka atau bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 

Blogger news

Blogroll