Dikuasakan oleh Blogger.

Khamis, 16 Januari 2014

TARIAN ALAI BUBU (SAYAU SALIHID) DAN MITOSNYA ; SUATU PERSOALAN


       Tarian Alai Bubu (Sayau Salihid) adalah merupakan sebuah tarian yang berkonsepkan bubu ikan dengan menggunakan bubu/lukah (yang direndam/tenggelamkan di dalam air sungai atau air laut untuk menangkap ikan). Tarian ini ditarikan oleh 6 orang penari, 4 orang pengalai, 4 orang pemuzik dan 2 orang penyanyi (tukang karut). Menurut informen, En Karim, Kisah disebalik tarian ini adalah sebuah mitos pada zaman nenek moyang suku kaum Bisaya yang terdahulu. Beliau merupakan salah seorang penggiat seni tari bubu mengalai di daerah beaufort sehingga kini.


Menurut beliau, pada zaman dahulu ada sepasang suami isteri yang berbangsa Bisaya dan tinggal di tepi pantai. Pada suatu hari si suami telah meninggal dunia dan tinggallah isteri yang tersayang. Mengikut adat istiadat suku kaum Bisaya pada masa itu yang masih belum beragama (Pagan) telah membuat satu syarat di mana bila si suami atau si isteri meninggal dunia maka yang hidup iaitu pasangannya akan turut serta dengan pasangan yang telah meninggal dunia dengan cara mayat pasangan mereka di masukkan ke dalam bubu (lukah) kemudian pasangan yang hidup dan mati itu di campak ke dalam laut. Ini membuktikan bahawa pasangan suami isteri itu setia antara satu sama dengan yang lain. Setelah itu,bomoh/pawang suku kaum Bisaya tersebut akan memuja atau memanggil semangat bubu/lukah naik semula ke pesisir pantai untuk berjumpa dengan sanak saudara/orang-orang kampung bagi mengubati atau penyembuhan mereka-mereka yang sakit pada ketika itu. Bomoh atau pawang akan membaca beberapa mantera dan jampi serapahnya dan salah satu mantera ini yang boleh dibaca seperti berikut:

IYA BAMBAN IYA LUKAH
UTAK BAMBAN IBA SARI,
MAIN DENGAN SIPAR MUDA,
SILUKAH PANDAI MENARI.

Namun, amalan-amalan yang menggunakan kaedah ilmu hitam atau black magic tidak wujud lagi hingga ke hari ini kerana telah diharamkan oleh pihak Jabatan Agama Islam. Tambahan pula pada zaman 80-an semasa En. Karim mula mempopularkan seni tari ini, amalan jampi serapah sudah tidak ada lagi. Hanya orang-orang tua sahaja yang masih mengamalkannya. Masyarakat bisaya Beaufort sudah menerima Islam secara sukarela sebagai agama anutan. Sekarang mantera ini boleh dinyanyikan dengan syarat tidak menggunakan jampi serapah hanya untuk persembahan nyanyian tarian sahaja seperti ada sebuah kisah pada masa yang sama di mana ada sekumpulan anak-anak muda sedang bermain alat-alat kulintangan di tepi pantai dan mereka menyanyikan lagu mantera seperti di atas, tiba-tiba mereka melihat ada susuk lembaga seperti seorang wanita sedang melenggang lenggok lemah gemalai menari mengikut alunan kulintangan tersebut. Semakin lama semakin lembaga itu menghampiri tepian pantai sehingga membuat anak-anak muda tadi lari lintang pukang ketakutan melihat lembaga tersebut.  Sebenarnya, lembaga yang dimaksudkan itu ialah bubu/lukah yang menjelma seperti kelibat seorang perempuan. Ramai penduduk kampung pada masa itu melihat fenomena yang terjadi di kampung mereka. Cerita ini merupakan sebuah mitos kisah orang-orang tua suku kaum Bisaya pada masa dahulu kala.


Sememangnya Tarian Alai Bubu ini adalah sebuah tarian yang unik dan boleh dianggap mistik oleh segelintir masyarakat yang melihat tarian ini ditarikan. Kajian demi kajian perlu dilakukan demi mendokumentasikan tarian ini yang menjadi warisan kaum bisaya di negeri Sabah.

:: fariest ::

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 

Blogger news

Blogroll