Dikuasakan oleh Blogger.

Isnin, 18 November 2013

Bencinta (Review Filem)

                Bencinta, mengisahkan cerita di mana misteri di sebalik kebahagiaan pasangan yang romantik antara Fatia yang dilakonkan oleh Nora Danish dan juga Faizal, watak yang dibawa oleh Farid Kamil. Fatia adalah seorang gadis yang cantik dan manis yang begitu mengutamakan personaliti dirinya. Beliau bekerja sebagai seorang chef di restoran milik kawannya.



                Fatia dilamar oleh Faizal sewaktu Fatia bekerja di kafe milik kawannya tersebut. Faizal digambarkan sebagai seorang lelaki yang kaya dan juga mempunyai rupa paras yang menawan. Sifat Faizal yang baik hati dan bersopan santun menarik hati Fatia, apatah lagi ketika restoran milik rakan Fatia mengalami masalah apabila ada pelanggan yang mengadu dan membuat kacau bilau mengatakan makanan yang dipesannya mempunyai masalah.

                Cara Faizal mengatasi masalah tersebut memikat hati Fatia. Faizal melamar Fatia selepas beberapa hari mereka berkenalan dan Fatia menerimanya. Di awal perkahwinan mereka sehinggalah kelahiran anak perempuan tunggal mereka iaitu Tiara, hubungan keluarga mereka tersangat bahagia. Cinta antara Fatia dengan Faizal semakin sempurna selepas kelahiran puteri mereka ini.

                Namun, semua itu berubah sekelip mata apabila sikap Faizal tiba-tiba berubah. Fatia mendapat tahu Faizal berhubung dengan wanita lain. Perbincangan secara baik untuk mendapatkan jawapan yang cuba dimulakan oleh Fatia bertukar menjadi pertengkaran antara dia dan juga Faizal. Fatia cuba bertanya kepada Faizal, namun Faizal menafikannya.

                Akhirnya Faizal akui bahawa wanita tersebut diibaratkannya sebagai wanita simpanannya sahaja untuk memuaskan kehendaknya, namun beliau mengaku masih menyayangi Fatia dan juga anak mereka iaitu Tiara. Namun, isteri mana yang tidak berasa kecewa. Fatia tak dapat menerima alasan yang diberikan oleh Faizal dan keadaan tiba-tiba bertukar menjadi kecoh apabila Faizal mula memukul Fatia. Hari makin hari, Fatia didera dan dipukul oleh suaminya. Akhirnya Fatia nekad untuk membawa anaknya lari daripada rumah atas bantuan rakannya.

                Fatia dan juga anaknya Tiara bersembunyi di Langkawi untuk mengelakkan daripada bertemu dengan Faizal atas bantuan rakan lama Fatia. Namun di Langkawi, peristiwa hitam kembali berulang apabila Faizal berjaya menemukan Fatia. Fatia sempat membawa lari anaknya iaitu Tiara dan mengarahkan rakan karibnya untuk menjaga Tiara. Fatia memulakan latihannya untuk belajar seni mempertahankan diri untuk menghadapi Faizal. Adakah kehidupan Fatia akan sentiasa tercalar pedih akibat keganasan rumah tangga yang dilakukan oleh Faizal atau sebaliknya?


                Filem ini amat baik untuk ditonton. Terdapat nilai kekeluargaan yang tinggi yang ditonjolkan di dalam cerita ini. Namun sebagai seorang penulis skrip yang hebat, seharusnya beliau mengambil berat soal agama dan juga undang-undang di dalam karyanya. Contohnya, Fatia yang didera suaminya haruslah melaporkan hal ini kepada pihak berkuasa seperti Mahkamah Syariah dan juga membuat laporan di Balai Polis. Walaupun Fatia sekadar mempertahankan dirinya, namun apabila dia keluar daripada rumah untuk membawa lari anaknya tanpa redha suaminya walaupun suaminya mengasarinya maka dia menjadi seorang isteri yang derhaka apatah lagi memukul semula suaminya. Apa-apa pun, diharap filem Bencinta mampu menyedarkan banyak pihak terutama para isteri-isteri di luar sana yang hanya berdiam diri apabila didera suami mereka. Selamat menonton!


::: HANIE :::

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 

Blogger news

Blogroll