Tamparuli : Festival Muzik Bambu Tamparuli yang bertemakan memelihara, mempromosi, dan memperkasa muzik tradisional bambu mendapat sambutan meriah daripada penduduk setempat sekitar kota kinabalu. Acara tersebut berlangsung pada 27 November 2013 baru-baru ni bertempat di Dewan Masyarakat Tun Hamdan.
Acara tahunan tersebut pada kali ini sangat meriah kerana mendapat lebih daripada 50 peryertaan dari Kota Kinabalu, Kota Marudu, dan beberapa tempat yang lain. Hinggakan penganjur terpaksa membuat saringan sebelum 20 kumpulan beraksi di pentas akhir. Setiap kumpulan mempunyai kekuatan yang tersendiri sama ada dari segi nyanyian, permainan alat muzik, dan persembahan. Turut menarik perhatian apabila acara pertandingan individu dipertandingkan pada tahun ini.
Menurut presiden Orkestra Muzik Bambu Kinabalu (OMBAK) yang juga pengerusi Festival Muzik Bambu, Jane Thing, "sama seperti tahun-tahun sebelumnya terdapat banyak aktiviti berbentuk pertandingan, pertunjukkan, dan pemeran telah diadakan di sekitar lokasi sambutan. Di dalam dewan pula menyaksikan hiburan persembahan orkestra atau kumpulan muzik bambu dari segenap pelosok negeri sabah, dengan kepelbagaian alat muzik bambu mereka sendiri," kataya.
Festival Muzik Bambu juga agak istimewa pada tahun ini kerana diserikan dengan persembahan khas seperti Kumpulan Perangkat Gamelan UMS 2013, di bawah En. Roslee Haji Wahid dan juga persembahan Beat Boxing.
Acara seperti ini seharusnya diuar-uarkan kepada masyarakat di seluruh negeri mahupun luar negara kerana ianya mempuyai potensi besar untuk disenaraikan dalam kalendar pelancongan negara. Cuma usaha untuk menjenamakan semula atau 'rebranding' festival ini adalah perlu sebagai salah satu usaha mendapat perhatian umum agar ianya turut dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan festival yang sudah gah di rantau ini seperti JB Arts Festival. Semua pihak haruslah berkerjasama dalam mengangkat seni tradisi masyarakat ini.
Turut hadir ialah wakil Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun dan para pemimpin rakyat yang lain.
:: Fariest ::